Saturday, December 17, 2011

masalah mental..utk pengetahuan..







Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkahlaku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya. Daripada data yang diperoleh,  sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan penduduk di Malaysia mengalami sakit mental bermula daripada kemurungan sehingga ke tahapskizofrenia. Golongan sakit mental merangkumi mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan ketegangan dan gagal mengatasinya seperti masalah rumah tangga, ekonomi dan tekanan kerja. Mereka yang gagal membuang tabiat merokok, meminum minuman keras, menghidu gam, mengambil dadah dan berjudi juga tergolong dalam pesakit mental. Masalah mental merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak hingga peringkat tua. Bagi kanak-kanak misalnya malu untuk makan dan ke tandas, takut ke sekolah dan hiperaktif juga termasuk dalam golongan mereka yang mengalami gangguan mental. Bagi golongan tua pula, antara penyakit mental yang dikesan ialah nyanyuk dan mengalami kemurungan.
Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang pertama penyakit psikosis. Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata. Antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif. Kumpulan kedua ialah penyakit yangbukan psikosis atau neurosis. Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita. Apabila perasaan biasa ini dan tingkah laku tertentu berlaku secara tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan harian seseorang dan menjejaskan hubungan dengan orang lain, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis ini. Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah ketakutan yang tidak berasas (fobia), keresahan (anxiety), kemurungan(depression) dan obsesif kompulsif. Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental boleh berbeza dari segi jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya masalah mental. Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah mental ialah faktor genetik dan keturunan. Seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan. Terdapat kajian yang menunjukkan kebarangkalian 1:100 peluang untuk seseorang dalam keluarga mendapat penyakit skizofrenia jika ada dalam ahli keluarganya mengidap penyakit tersebut berbanding 1:10 dalam masyarakat umum. Faktor kedua ialah gangguan bahan kimia dalam otak sebagai contoh penghasilan dopmin secara berlebihan menyebabkan masalah Skizofrenia dan parasserotonim terlalu rendah menyebabkan masalah kemurungan. Apabila bahan kimia dalam otak yang dikenali neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan berlaku. Faktor lain ialah jangkitan virus, sejarah hidup yang getir dan keadaan sosioekonomi yang rendah.



No comments:

Post a Comment